Khamis, 12 Mac 2009

Memori Kursus Peningkatan Profesionalisme Siri 2/2009


Berdasarkan soal selidik yang kami lakukan, tiada seorang pun yang tidak berpuas hati terhadap pengisian kursus ini. Peserta dari Sabah, Dr Taufek Yap, misalnya menyatakan bahawa ilmu yang diperoleh melalui kursus ini sangat berharga dan berguna sekali dalam usaha meningkatkan keilmuan perubatan homeopathy.
Dalam kursus dua hari ini, pembimbing turut mendedahkan falsafah, kaedah dan seni dalam perubatan homeopathy yang cukup mempesonakan peserta. Peserta terdiri bukan sahaja dari kalangan pengamal perubatan homeopathy, malah dari golong profesional lain seperti pensyarah ITPA, juruukur, ahli farmasi, pendidik, usahawan dan pelajar.

Selasa, 10 Mac 2009

Seorang lagi ahli kembali ke rahmatullah

Hari ini, tibalah giliran seorang rakan kita, ahli PPHBM, Pn. Shae’eran bt Safawi, Batu Pahat, Johor pergi menemui penciptanya buat selama-lamanya. Menurut suami beliau (melalui panggilan telefon), beliau demam panas dan dimasukkan ke wad hospital dan kemudian terjatuh (saya tak pasti jatuh di mana – kerana talian kurang jelas, ketika itu saya berada di Kelantan). Kemudian beliau dimasukkan ke wad ICU dan disahkan menghidap leukimia. Bersama-samalah kita berdoa agar rohnya dirahmati oleh Allah s.w.t. Dan sama-samalah kita sedekahkan al-Fatehah kepada roh almarhummah - AL-FATEHAH....

Selasa, 3 Februari 2009

Kursus Peningkatan Profesionalisme Siri 2/2009

PPHBM akan mengadakan Kursus Peningkatan Profesionalisme Siri 2/2009 pada

Tarikh : 07 & 8 MAC 2009 (SABTU & AHAD)
Masa : 8.00 pagi – 5.00 petang
Tempat : Hotel Ching Hua
Segamat Baru, Segamat, Johor
Bayaran : RM200.00 (AHLI) & RM250 (BUKAN AHLI)
Penginapan adalah urusan sendiri
Tajuk: Organon Homeopathy
Bahasa Rasmi : Bahasa Melayu

Penyertaan : Terbuka kepada semua ahli dan sesiapa yang berminat

Untuk keterangan/penyertaan sila hubungi Dr(H) Abu Naim:013-7613931

Ahad, 1 Februari 2009

Kursus Peningkatan Profesionalisme 1/2009



Sebanyak 20 orang ahli PPHBM telah mengikuti Kursus Peningkatan Profesionalisme pada 1 Februari 2009 di sebuah hotel di Segamat, Johor. Kursus sehari dengan tema “Pengurusan Penyakit dari Perspektif Homeopathy” iaitu telah dikendalikan oleh DR(H) Zainul Azmi bin Ahmad, selaku Presiden PPHBM.

Seorang peserta, En. Ahmad Kamal dari Putra Jaya mengatakan bahawa kursus ini sangat berfaedah.”Saya mendapat sesuatu yang baru dan amat berharga apabila mengikuti kursus ini,” katanya yang kini sedang mengikuti Program Diploma Sains Perubatan Homeopathy yang diuruskan oleh ANZ Vision Resources.

Selasa, 27 Januari 2009

Kembali ke Rahmatullah

Dr(H) Md Saad Tariman yang pernah menyandang jawatan Bendahari PPHBM telah kembali ke pangkuan Illahi pada hari ini. Beliau seorang ahli yang aktif dan banyak berjasa kepada kita. Justeru, bersama-samalah kita menghadiahkan bacaan surah al-Alfatehah agar rohnya dirahmati Allah s.w.t. dan ditempatkan di dalam syurga dengan kedamaian dan keredaan-Nya. Al-FATEHAH....

Jumaat, 23 Januari 2009

Fakta-Fakta Tentang Chikungunya


1. Apa itu Penyakit Chikungunya?
Chikungunya adalah sejenis penyakit bawaan nyamuk. Chikungunya pertama kali dikesan melalui ujian darah di Tanzania pada tahun 1953. Semenjak itu ia berlaku di negara-negara Afrika, Asia dan akhir-akhir ini ia berlaku di beberapa buah tempat di Negara Eropah. Ia endemik (selalu berlaku) di kebanyakan negara Sub Sahara Afrika, India, Asia Tenggara, Indonesia dan Filipina. Ia bukanlah satu penyakit misteri yang tidak diketahui puncanya.

2. Bagaimana penyakit ini boleh berlaku?
Chikungunya adalah demam yang disebabkan oleh virus daripada genus Alphavirus di dalam keluarga Togaviridae.

3. Adakah ia berjangkit?
Ya. Virus Chikungunya berjangkit melalui gigitan nyamuk Aedes albopictus atau Aedes aegypti yang membawa virus tersebut. Nyamuk Aedes juga menyebarkan virus penyakit demam denggi.

4. Apakah masa pengeraman bagi Chikungunya?
Masa pengeraman bagi Chikungunya boleh menjangkau dari 3 hingga 12 hari tetapi pada kebiasaannya di antara dari 3 hingga 7 hari.

5. Apakah tanda-tanda dan gejala penyakit ini?
• Demam panas mengejut
• Sakit teruk pada sendi
• Ruam pada badan
• Sakit kepala Seorang pesakit boleh demam dari dari 1 hingga 7 hari (kebiasaannya 5 hari).
Penyakit Chikungunya boleh disalah anggap sebagai demam denggi kerana tanda-tanda penyakit yang menyerupai demam denggi.

6. Adakah penyakit ini boleh membawa maut?
Di Malaysia, Chikungunya tidak pernah dilaporkan boleh menyebabkan pendarahan atau kematian. Tetapi, sesetengah pesakit mengalami gejala yang berpanjangan. Pesakit yang berumur boleh mengalami kesakitan berulang pada sendi sehingga beberapa bulan atau tahun.

7. Apakah rawatan bagi penyakit ini?
Seperti penyakit-penyakit yang disebabkan oleh virus, ia tiada rawatan yang khusus. Selalunya rawatan diberi berdasarkan gejala klinikal yang dialami oleh seseorang pesakit. Kebanyakan kes yang terjadi hanya memerlukan rawatan pesakit luar sahaja. Tiada vaksin bagi penyakit ini.

8. Apakah yang perlu dilakukan jika dijangkiti penyakit?
Jika mengalami tanda-tanda dan gejala penyakit Chikungunya, orang ramai adalah dinasihatkan segera mendapatkan rawatan di klinik atau hospital terdekat.

9. Cara pencegahan penyakit Chikungunya

• Bersihkan kawasan rumah dan persekitaran supaya bebas daripada tempat-tempat pembiakan nyamuk Aedes. Ini boleh dilakukan melalui aktiviti gotong royong. Adalah terbukti tiada kes baru yang dilaporkan di kawasan-kawasan yang melakukan gotong- royong.
• Periksa rumah dan persekitaran sekurang-kurangnya seminggu sekali untuk memastikan tiada pembiakan nyamuk Aedes.
• Dapatkan rawatan dengan segera di klinik atau hospital berdekatan sekiranya mengalami tanda dan gejala penyakit.

10. Bolehkah kawasan saya dijangkiti penyakit Chikungunya?
Boleh, kerana penyakit ini dibawa oleh nyamuk Aedes albopictus dan Aedes aegypti yang terdapat di negara kita.

11. Situasi semasa penyakit Chikungunya di seluruh negara
Sila rujuk kenyataan akhbar.

Untuk maklumat lanjut sila hubungi:
Bilik Gerakan Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan Malaysia Aras 3, Blok E10, Parcel E, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan 62590 Putrajaya No.
Tel. : 03-8881 0600 / 03-8881 0700

Sumber: www.moh.gov.my

Selasa, 20 Januari 2009

Kursus Peningkatan Profesionalisme

PPHBM akan mengadakan Kursus Peningkatan Profesionalisme pada

Tarikh : 01 FEBRUARI 2009 (AHAD)
Masa : 8.00 pagi – 5.00 petang
Tempat : Hotel Ching Hua
Segamat Baru, Segamat, Johor
Bayaran : RM200.00
RM250 (termasuk penginapan jika perlu)

Tema : Disease and Its Management: The Homeopathic Concept

Bahasa Rasmi : Bahasa Melayu

Penyertaan : Terbuka kepada semua ahli dan sesiapa yang berminat

Untuk keterangan/penyertaan sila hubungi: 013-7613931