Isnin, 13 Julai 2009

Reflekasi Kursus Peningkatan Pro Siri 6/2009

Kursus Peningkatan Profesionalisme Siri 6/2009 yang memfokuskan bidang Pemakanan dan Kesihatan yang diadakan sempena Karnival dan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-30, PPHBM telah mendedahkan sejumlah ilmu yang amat berguna, khususnya kepada pengamal perubatan dan orang awam amnya. Suatu hal yang amat menarik dalam kursus ini ialah, wujudnya penyertaan daripada orang awam (yang hanya berpendidikan sekolah rendah dan bekerjaya sebagai buruh am). Tiga orang penceramah/pembimbing, iaitu Dr. Zaifuddin Md Rasip (dari UIAM), Pn. Dahlia Muhamad dan Cik Dalila Othman (Pegawai Deitetik, Hospital Besar Segamat) telah menyempurnakan kursus ini. Peserta didedahkan dengan Pemakanan sihat untuk pesakit-pesakit atau masalah diabetes, darah tinggi, gout, masalah buah pinggang dan penyakit-penyakit akibat jangkitan kuman/viirus. Keperluan pengambilan makanan tambahan (food suplement) dan pemilihan produk makanan kesihatan yang terbaik juga turut didedahkan.

Berlangsung dengan Jayanya Karnival....

Berlangsung dengan jayanya, Karnival Kesihatan dan Perubatan Homeopathy 2009 anjuran PPBHM. Inilah karnival seumpamanya yang pertama di Malaysia (sepanjang pengetahuan saya). Meskipun dibuat secara sederhana dan bersifat agak kolektif, karnival ini secara umumnya berjaya dan mendapat kerjasama dan sambutan yang menggalakkan.
Kerjasama daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia melalui Jabatan Kesihatan Daerah Segamat cukup jelas menampakkan bahawa kita mempunyai maltamat yang sama – untuk membina masyarakat yang sihat dan sejahtera. Semasa karnival, kelihatan kaunter Jabatan Kesihatanlah yang paling sibuk dan diminati ramai. Pemeriksaan kesihatan, ujian gula dalam darah, ujian papsmear, dan khidmat nasihat kesihatan yang disediakan memang layak diberikan pujian. Tahniah dan terima kasih, diucapkan!
Rawatan perubatan homeopathy percuma daripada sukarelawan homeopathy juga mendapat sambutan yang luar biasa. Ada juga “pesakit” yang datang dari luar daerah, malah luar Johor.
Gerai jualan produk kesihatan dan kecantikan juga mendapat sambutan. Produk homeopathy juga turut dipromosikan dan dijual dengan harga promosi sehingga 75% potongan. Meskipun tidak menguntungkan sangat, rata-rata pengusaha/peniaga berpuas hati dan mengharapkan program seperti itu diteruskan dan diperbanyak.
Ada juga yang bertanya, selepas ini karnival buat di mana pula? Kami nak joint lagi la…..
Kami sangat menghargai semua pihak yang bekerjasama menjayakan program itu, lebih-lebih lagi kepada YB. Encik Ayub bin Rahmat, ADUN Kemelah, yang melapangkan masa untuk mengunjungi gerai-gerai pameran dan memberikan galakan dan sokongan.
Kesan yang jelas daripada program ini, masyarakat kian mengenali dan mendekati perubatan homeopathy; suatu sistem pengubatan yang selamat dan berkesan.