Apakah Itu Homeopati?
Dua ratus tahun telah berlalu sejak Homeopati diperkenalkan kepada manusia. Pelbagai idea, teori dan kejayaan telah terpahat di dalam sejarah berkaitan sumbanganomeopati di dalam memperbaiki dan merubah kesengsaraan dan penderitaan pesakit. Dalam masa yang sama, penawar-penawar Homeopati telah membuktikan kehebatan mereka di dalam menyembuh dan menghalang penyakit serta mempertingkatkan tahap kesihatan pada tingkat yang fundamental. Kejayaan demi kejayaan yang dicapai ini bukanlah melalui satu jalan yang mudah. Liku-liku pancaroba yang amat mencabar terpaksa diharungi dan akan terus didepani dari masa ke semasa. Tetapi satu yang pasti ialah Homeopati akan terus tegak di persada kehidupan sebagai satu rawatan perubatan alternatif yang mujarab dan efektif. Keyakinan ini berasaskan kepada beberapa aspek penting kaedah rawatannya yang tidak didapati pada mana-mana rawatan perubatan lain dewasa ini.
Sejarah Ringkas Homeopati
Pengasas Homeopati, Samuel Hahnemann, telah dilahirkan di Meissen berhampiran Dresden, Jerman pada 10 April 1755. Beliau mendapat ijazah perubatannya pada tahun 1779. Ketika berkhidmat sebagai doktor di beberapa buah bandar, Hahnemann tidak lupa memahirkan diri dengan mempelajari pelbagai jenis bahasa, baru dan lama, dan juga ilmu kedoktoran silam. Selain daripada menjadi seorang doktor, beliau juga terkenal sebagai pakar kimia, ahli mineralogy dan botani, malah beliau boleh dianggap sebagai seorang ahli sains yang serba berkebolehan.
Berdasarkan kepada pembacaan dan pemerhatian Hahnemann ke atas sistem rawatan pada masa itu dan yang terdahulu, beliau begitu tertarik kepada tindakbalas ubat-ubatan di dalam menyembuh penyakit. Kajiannya tertumpu kepada kesan kulit pokok Cinchona (kulit kayu Quinine atau Peruvian) ke atas penyakit malaria kerana penyakit berkenaan merebak luas ketika itu dan antara yang paling merbahaya. Walaupun ada penulisan di masa itu berhubung kuasa penyembuhan kulit pokok Chinchona, tetapi Hahnemann tidak begitu berpuas hati dan mengambil keputusan untuk membuat ujian sendiri ke atas manusia yang sihat – iaitu dirinya sendiri. Hasilnya, selepas mengambil dos kulit pokok berkenaan secara berterusan, beliau mendapati simptom (gejala) malaria pada dirinya seperti kesejukkan, panas dan berpeluh serta gejala-gejala sampingan lain. Dengan lain perkataan, kulit pokok Cinchona yang digunakan sebagai penawar (ubat) untuk menyembuhkan malaria juga memberikan kesan (gejala) yang sama jika diberikan secara berterusan kepada manusia yang sihat. Penemuan prinsip rawatan ini yang dipanggil “Similia Similibus Curentur” di dalam bahasa Latin atau “sesuatu yang serupa menyembuhkan yang serupa” menandakan permulaan satu falsafah perubatan baru yang akan membawa kesan besar kepada dunia perubatan.
Kajian demi kajian telah dilakukan oleh Hahnemann bersama teman seperjuangannya dan akhirnya beliau berjaya membukukan falsafah perubatan Homeopati di dalam bukunya yang terkenal bertajuk “Organon”, dan diikuti kemudian dengan terbitnya buku panduan perubatan Homeopati pertama “Materia Medica Pura”. Kemajuan Homeopati berjalan dengan pesat dengan banyak lagi penemuan baru dan penerbitan buku-buku panduan, dan telah berkembang ke serata dunia dan terus dipopularkan sebagai rawatan alternatif penting hari ini.
Hahnemann meninggal dunia di Paris pada tahun 1843 dengan meninggalkan mutiara yang amat berharga, satu falsafah dan kaedah rawatan yang begitu banyak bermanfaat kepada kesihatan manusia sejagat sepanjang zaman.
Kaedah Rawatan Homeopati
Berdasarkan kepada keterangan di atas, jelas menunjukkan bahawa prinsip rawatan Homeopati ialah memadankan simptom (gejala) penawar dengan simptom pesakit (simptom pesakit dan BUKAN simptom penyakit!). Prinsip ini di panggil “Prinsip Seraksi” (Principle of Similars atau Similia Similibus Curentur).
Seorang Pengamal Homeopati akan mendapatkan gambaran terperinci pesakit melalui perbualan dan penganalisaan simptom. Apa yang dimaksudkan dengan “gambaran terperinci” ini ialah butir-butir mengenai diri pesakit, sejarah penyakit di dalam keluarga, penyakit atau kemalangan masa lalu, minat dan hobi, bentuk dan jenis pemakanan, ubat-ubatan lain yang diambil dan sebagainya. Butir-butir ini tidak terhad kepada apa yang diucapkan oleh pesakit sahaja tetapi juga apa yang diamati oleh Pengamal Homeopati seperti bentuk susuk badan, keadaan kulit dan anggota badan lain, cara dan nada percakapan, kecendurangan minda, tabiat, dan sebagainya. Semua ini membentuk “gambaran terperinci” pesakit.
Tugas kita seterusnya ialah mencari “gambaran terperinci” penawar Homeopati (daripada Materia Medica) yang menepati atau hampir menepati “gambaran terperinci” pesakit berkenaan. Tugas ini sangatlah rumit dan memerlukan kemahiran yang tinggi dan banyak kesabaran terutamanya kerana sedikit sangat kerjasama daripada para pesakit. Ini berkait rapat dengan salahfaham mereka mengenai Homeopati atau menganggap sistem perubatan ini sama seperti rawatan di klinik atau hospital (dikenali sebagai sistem rawatan Allopati) iaitu dengan memberi nama penyakit sudah memadai untuk mendapatkan preskripsi ubat.
Jika kita lihat betul-betul, kita akan dapati bahawa rawatan Homeopati memerlukan gambaran keseluruhan pesakit di saat membuat diagnosa, dan ini dipanggil pendekatan secara holistik. Bukan sahaja aspek fizikal pesakit yang diberi perhatian tetapi juga keadaan mental dan spiritualnya diambil kira supaya penawar kelak akan lebih berkesan dan berkekalan.
Keistimewaan Homeopati
Sejak sekian lama Homeopati telah terbukti hebat dan berkesan di dalam memperbaiki tahap kesihatan bukan saja manusia tetapi juga binatang dan tumbuh-tumbuhan. Secara ringkas, antara kelebihannya ialah:
i. Efektif – mampu merawat dengan mujarab hampir kesemua jenis penyakit.
ii. Natural – tidak menggunakan sebarang bahan sintetik, tetapi sebaliknya menggunakan bahan-bahan asli daripada tumbuhan, galian dan bahagian binatang.
iii. Selamat – penawarnya tidak toksid dan tanpa kesan sampingan.
iv. Individu – penawar diberikan berdasarkan gambaran pesakit secara individu dan tidak disamaratakan antara semua pesakit walaupun penyakitnya kelihatan serupa.
v. Satu Penawar – hanya satu penawar sahaja diberikan pada setiap ketika.
vi. Tidak Melarat – penawar homeopati membantu sistem pertahanan badan untuk melawan penyakit dan BUKAN mengambilalih tugasnya.
vii. Dos Minima – dos penawar hanyalah setakat diperlukan dan selebihnya adalah tindakan semulajadi sistem pertahanan badan.
viii. Holistik – seluruh gambaran pesakit diambil kira waktu memberi penawar.
ix. Saintifik – walaupun banyak salahfaham tentang Homeopati, ia tetap diterima berasaskan kajian yang saintifik.
x. Harga Berpatutan – harganya berpatutan dan mampu dilanggani oleh semua.
Dipetik drp. artikel Dr. (H) Ir. Izham Hashim, PHom, BHMS (MAhM/USU)
Sila layari http://www.youtube.com/watch?v=BWE1tH93G9U
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
4 ulasan:
Tuan, saya berminat untuk mengikuti kursus perubatan homeopathy. Di manakah saya boleh mengikutinya dan apakah syarat-syaratnya.
-azman, KL
Terima kasih, sdr. Azman.
Untuk keterangan selanjutnya sila berhubung dengan setiausaha melalui talian 013-7613931 atau melalui e-mel pphbm2u@gmail.com.
masih ada lagikah ni Dokter..? lama suda ni artikel
Maccam lama suda tidak di update
Catat Ulasan